Punca krisis pemikiran negatif

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEORANG teman e-mel menulis kepada saya minggu ini bertanyakan satu soalan: ``Kenapa dan mengapa hanya kita sahaja yang perlu memahami atau menjaga dan menghormati hati dan perasaan orang lain, sedangkan orang lain tidak pernah cuba untuk memahami hati dan perasaan kita...?''

Kebetulan pula pada hari yang sama saya terdengar jawapan seorang penceramah TV ruangan pagi yang menjawab pertanyaan seorang ibu tentang tingkah laku anak kecilnya yang telah pandai bercakap kasar dan menggunakan beberapa perkataan yang berbentuk maki hamun dan mencarut sedangkan ibu bapanya di rumah tidak pernah mengajar anaknya mengeluarkan pengucapan demikian.

Dalam menjawab pertanyaan ibu tersebut, penceramah itu mengatakan bahawa terdapat kes seorang anak kecil secara tidak langsung telah meniru maki hamun ayahnya ketika membawa kenderaan di jalan raya yang sibuk. Ayahnya bila berada di tempat duduk pemandu sering kali memaki hamun pemandu lain yang dirasakannya berlaku kasar terhadapnya.

Maka ungkapan maki hamun dan sumpah seranah ayahnya terhadap pemandu lain di luar sana itulah yang meresap ke dalam hati dan otaknya, dan kata-kata itulah yang diulang-ulangkannya dalam keadaan-keadaan yang tertentu.

Hubungan cerita anak kecil dengan ungkapan kasarnya itu sebenarnya mempunyai kaitan yang rapat dengan sikap sesetengah orang yang bersikap negatif seperti yang dipersoalkan oleh teman e-mel tersebut, iaitu bersikap kasar, kurang sopan, mencarut, maki hamun dan sebagainya, termasuk sikap mementingkan diri sendiri.

Sememangnya pada hari ini pun, nampaknya sudah tidak ada lagi orang yang dapat menahan aliran negatif itu daripada melanda masyarakat kita. Kelihatan seolah-olah tidak ada sesiapa lagi dalam masyarakat kita yang dapat membendung peningkatan tingkah laku buruk dan biadab yang sedang merempuh masuk ke dalam rumah tangga dan kampung halaman kita sekarang ini.

Secara sepintas lalu kuman dan racun yang menyebabkan jangkitan gejala negatif dalam sesebuah masyarakat dan sesuatu bangsa adalah berkait rapat dengan budaya dan cara hidup sekeliling yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan satu bangsa itu. Kita sering mendengar hadis Rasulullah s.a.w yang menegaskan tentang kejadian fitrah manusia yang dilahirkan dalam keadaan bersih dan suci, maka ayah bondanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ungkapan tentang pengaruh ibu bapa dalam perkembangan bayi dan kanak-kanak ini, tentulah tidak hanya terhad kepada dua orang ibu dan bapanya sahaja. Ini kerana kanak-kanak setelah menjadi dewasa, dia akan terdedah kepada pengaruh persekitaran di sekelilingnya, termasuk guru-gurunya, para pensyarahnya di pusat pengajian tinggi, ketua-ketua masyarakat, imam dan para guru agama, dan yang lebih penting pada ketika ini ialah para pemimpin politik yang amat ghairah merebut kuasa bagi memerintah negara dan para pengikutnya yang fanatik.

Para ahli politik yang terlalu ghairah mencari pengaruh dalam mengumpul sebanyak mungkin pengikut yang akan memberikan undi kepada dirinya atau partinya kadang-kadang akan melupakan segala nilai kemanusiaan dan budaya yang tinggi. Untuk mendapatkan pengaruh ini berbagai-bagai taktik akan dilakukan, termasuk menggunakan kemahiran berbicara dan bercakap. Kerana kemahiran inilah yang sering menjadi ukuran orang awam tentang prestasi dan kualiti bagi bakal pemimpin yang akan dipilih mereka.

Dalam berbicara dan bercakap, maka perkara utama yang seharusnya diberikan penekanan ialah mencari jalan untuk menjatuhkan lawan dengan apa cara sekalipun, termasuklah cara fitnah, tuduhan, menjatuhkan air muka, mengorek apa saja kelemahan lawan, termasuk soal-soal peribadi yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan persaingan untuk merebut kuasa politik.

Hal ini berlaku agak hebat dan berterusan sejak beberapa tahun terakhir ini. Segala gejala buruk dan negatif ini tanpa segan silu lagi telah menjadi permainan bibir di mana-mana sahaja, dan di hadapan semua orang tanpa memilih peringkat umur dan status masyarakat lagi. Oleh itu, apakah yang hendak dihairankan lagi sekiranya orang sekarang amat kurang lagi menghormati perasaan dan maruah orang lain, amat biadab dan kasar dengan orang lain tanpa mengira tua atau muda, kedudukan dan kehormatan orang itu.

Bagaimanakah hendak dididik orang untuk menghormati dan menjaga perasaan orang lain sekiranya orang yang berceramah sudah boleh menghentam peribadi orang lain tanpa segan silu, atau menulis dan menyentuh peribadi orang lain tanpa adab lagi, dan sanggup pula menyebarkan berita palsu dan menyakitkan orang lain di dalam media, e-mel, Internet dan segala kemudahan canggih yang wujud pada hari ini.

Bukankah hal ini yang diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadis di atas, yang walaupun tidak secara langsung, tetapi menjelaskan bagaimana pengaruh manusia dan keadaan di sekeliling boleh membentuk peribadi dan kelakuan orang lain, sehingga kadang-kadang melibatkan akidah dan pegangan agamanya.

Bukankah perkembangan terakhir yang amat negatif di negara kita sekarang ini merupakan satu saluran pendidikan tidak formal yang amat berpengaruh dalam menjana minda dan peribadi anak-anak sekarang, dan dengan ini membentuk sikap dan peribadi mereka? Seterusnya mencorakkan budaya dan cara hidup seorang manusia yang hidup dalam suasana dan latar belakang yang tidak lagi menghayati nilai hidup dan ketinggian peribadi yang menjadi teras pembentukan akhlak dan adab yang baik.

Oleh itu saya fikir apa yang dipersoalkan oleh seorang ibu tentang anaknya yang mulai pandai bercakap kasar dan biadab, dan persoalan yang ditimbulkan oleh e-mel yang dihantar kepada saya tentang sikap kebanyakan orang sekarang yang tidak pandai lagi menjaga dan menghormati perasaan orang lain, sebahagiannya telah terjawab seperti yang saya sebutkan di atas.

Sekiranya kita ingin kembali membentuk masyarakat yang berakhlak dan beradab, berbudaya tinggi dan bertamadun, maka kita harus segera memperbaiki cara hidup dan kelakuan orang yang menjadi contoh dalam masyarakat sekarang. Malangnya orang yang dianggap contoh dalam masyarakat sekarang ini kebanyakannya ialah orang yang bermain politik secara sempit dan fanatik, yang pandai berbicara dan berkata-kata, walaupun apa yang dikatakannya itu tidak benar.

Inilah nasib malang yang sedang kita hadapi sekarang, yang tidak pula diketahui bilakah akan berakhir sekiranya masing-masing tidak bertindak memperbaiki diri sendiri.

e-mel: ismail@ikim.gov.my

0 comments: