Renungan Untuk Skot79


Ketenangan Bertakhta dalam hati Yang Bersih

•Ketenangan jiwa adalah merupakan satu nikmat yang tidak ternilai harganya. Dalam mencari ketenangan jiwa berbagai cara telah dilakukan oleh manusia untuk mencapainya. Ada dikalangan kita yang mencari ketenangan melalui hiburan seperti menyanyi, berkaroke, berdansa dan berdisko. Ada juga yang mencari ketenangan dengan melakukan aktiviti seperti beriadah, yoga, melancong dan menyendiri. Tak kurang juga yang mencari ketenangan jiwa melalui bacaan Al Quran, berzikir, bersolat dan bertafakkur. Pokok pangkalnya apa yang dicari adalah ketenangan bagi jiwa.
•Apabila jiwa tenang hidup akan terasa bahagia. Bagi yang memperolehi kebahagiaan hidup segala cubaan kehidupan dapat dilalui dengan senang. Jika jiwa berserabut kehidupan akan menjadi sesuatu bebanan. Pada masa itu harta yang banyak suidah tidak bernilai, pangkat dan kedudukan sudah menjadi bebanan dan tekanan.
•Untuk mendapatkan ketenangan kita mesti menyediakan tempat untuk ia tumbuh. Kalau pohon disemai diladang, binatang diternak di kandang, manusia dikandung di rahim maka ketenangan tempatnya adalah di hati. Hati adalah tempat tumbuhnya ketenangan. .
•Ketenangan tidak akan datang sekiranya tempat tumbuhnya tidak dijaga. Hati yang dipenuhi oleh kedengkian, kemarahan, dendam kesumat, buruk sangka, irihati tidak memungkinkan untuk ketenangan yang dicari itu bisa tumbuh dan subur.
•Jika mahu hati disinari ketenangan maka segala halangan yang menyekat tumbuhnya ketenangan itu perlu dibersihkan.
•Untuk membersihnya bukanlah satu perkara yang mudah. Tanpa kesungguhan dan ikhtiar segala kekotoran hati tidak mampu untuk dibersihkan. Apabila kita berjaya membersihkan kekotoran hati ini maka tempat bertapatnya kekotoranyang lalu mesti disemai dengan kejernihan. Apabila kita berjaya mencungkil dendam maka semailah kemaafan agar tapak yang pernah tumbuhnya dendam kesumat tidak ditumbuhi oleh sifat buruk yang lain, bila berjaya mencungkil kedengkian dan irihati semailah kasih sayang dan qanaah begitu juga bila berjaya mencungkil buruk sangka maka semailah Husnuz Zhan atau baik sangka agar keseluruhan hati itu bisa tumbuh sifat-sifat mahmudah yang diredhai tuhan.
•Benih mahmudah yang baru disemai mesti dijaga. Kerana terdapat banyak musuh yang cuba untuk merosakkannya. Apabila kita berjaya menjaganya dengan baik maka pokok mahmudah itu akan dapat terus hidup subur dan akhirnya akan lahirlah buah tajalli yang kita cari. Nikmat ketenangan merupakan satu daripada buah tajalli yang hanya dapat dikecapi oleh mereka yang berusaha mencapainya dan berjaya memperolehinya. Ianya tidak dapat digambar dengan lukisan dan tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata atau tulisan.
•Ketenangan tidak mampu diperolehi dengan hanya menempel. Ketenangan perlu dicari.

0 comments: