Ibadah Ramadhan oleh Lt Kol Dr Burhanuddin

IBADAH RAMADAN


“wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kamu berpuasa sepertimana diwajibkan keatas umat yang terdahulu mudah-mudahan dengannya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”

(Surah al-Baqarah ayat 183). Selamat menyambut bulan Ramadhan al-mubarak kepada semua rakan dan sahabat dengan iringan doa dan harapan, semoga Ramadhan yang kita tempuhi dan harungi berbekalkan semangat iman dan taqwa serta membawa impak dan erti yang sangat besar dalam kehidupan, khususnya dalam konteks menjalin dan mengukuhkan hubungan kita dengan Allah (hablun minAllah) dan hubungan kita sesama manusia (hablun Minannas) melalui melalui proses pentarbiahan dan pendidikan madrasah Ramadhan. Sebagai seorang Mukmin, marilah kita menghayati Ramadhan yang ianya sinonim dengan ibadah puasa. Konotasi puasa membawa maksud yang tersurat dan tersirat. Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah, ia tidak melakukanya. Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil Ramadhan dengan segala amal penghayatannya akan memberikan pengalaman rohaniah yang unik dan istimewa. Menjadi harapan kita bersama agar Ramadan kali ini dapat menggerakkan hati nurani kita untuk melakukan pembaikan diri (self-improvement) serta meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang terumus dalam istilah inklusif taqwa. Selamat menjalani ibadah Ramadan.

0 comments: