Amanah Dalam Memimpin Organisasi

Allah S.W.T. dalam al-Quran dengan jelas berfirman, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)" (An-Nisa': 58). Dalam konteks ayat ini boleh juga dimaksudkan kepada individu yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah organisasi. Amanah ini hendaklah diserah kepada seseorang yang berhak dan berkelayakan. Maju mundur sesebuah organisasi bermula dengan mutu kepimpinan yang dilantik. Kegagalan dalam proses perlantikan kepada yang layak akan memberi kesan yang malap kepada organisasi. Justeru itu terdapat beberapa kaedah dari sudut sistem untuk memilik seseorang untuk menerajui sesebuah organisasi. Di antaranya ialah melalui jawatankuasa hal mencari (search committee). Jawatankuasa ini hendaklah di anggotai oleh ahli-ahli yang berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak ia nampak cantik dari segi proses tetapi gagal memenuhi semangat dan tujuan jawatankuasa diwujudkan.
Pemimpin yang dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah organisasi itu sebagai satu amanah untuk menerajui organisasi tersebut mencapai ke tahap yang paling cemerlang. Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status quo prestasi organisasi tetapi disebaliknya berusaha untuk berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.
Kegagalan sesebuah organisasi berprestasi dengan cemerlang, kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan organisasi. Sikap negatif yang demikian banyak menimbulkan gejala kepada prestasi organisasi. Masyarakat tidak boleh membendung pemilihan pemimpin organisasi yang bermasalah. Bahkan usaha mempertahankan pemimpin yang tidak beramanah adalah kesilapan yang besar mengikut Islam.
Disamping itu kegagalan organisasi mungkin disebabkan pemilihan pemimpin yang tidak berkelayakan dan berpengalaman. Kelayakan bersandarkan kebolehan seseorang pemimpin menjayakan matlamat yang telah digariskan untuk organisasi. Pengalaman adalah pendedahan yang pernah dilalui oleh seseorang dalam tugasan yang berkaitan.
Pemimpin harus mempunyai anggapan bahawa mutu penghasilan organisasi adalah sebagai nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan tersebut memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya - iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja dalam sesebuah organisasi tersebut semoga mempertingkatkan mutu prestasi adalah usaha yang berterusan untuk ke semua lapisan pekerja. Amalan yang maju ini perlu dijadikan budaya dalam organisasi.
Untuk mewujudkan budaya tersebut tidak memadai pemimpin mempunyai sikap positif terhadap mutu tetapi sekaligus ia memerlukan kepada kemampuan memimpin secara kreatif dan inovatif semoga tuntutan positif terhadap mutu dapat diterjemahkan menjadi satu budaya yang sihat dalam organisasi tersebut. Kesemua lapisan warga organisasi perlu digembeling untuk menyumbang ditahap tertinggi dan sekaligus mampu berurusan sesama individu secara muafakat. Kecapaian ini bukannya mudah, bahkan ia memerlukan kebolehan pemimpin dengan seni kepimpinannya yang luara biasa.
Pemimpin juga seharusnya bersikap positif terhadap kebajikan kepada ke semua lapisan pekerja. Mementing kebajikan pekerja adalah satu ciri yang akan membawa kepada prestasi kejayaan organisasi tersebut. Pekerja adalah pelaksana kerja organisasi. Jika semangat bekerja di kalangan pekerja menurun sudah pasti prestasi yang bermutu sukar dapat dihasilkan oleh pekerja. Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan yang baik kerana kejayaan organisasi mampu dicapai oleh kemampuan memartabatkan kebajikan pekerja dan bukan faktor kemajuan teknologi sahaja. Bahkan tidak akan terdapat kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja.
Tepat dengan maksud tersebut perancangan yang syumul dan rapi dalam latihan warga organisasi perlu dibangunkan dengan secara berkesan. Kebajikan kepada pekerja yang utama ialah kemampuan kepimpinan organisasi secara berterusan meningkat kemampuan prestasi keseluruh warga organisasi. Setiap individu pekerja mahu meningkat dalam kedudukan kerjayanya. Kebajikan pekerjaan dengan kata lain ialah kemampuan pemimpin memajukan kerjaya setiap warga organisasi.
Islam melihat golongan pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi kepada majikan dan barisan pemimpin. Oleh itu gabungan yang padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan yang hak kepada golongan pekerja oleh majikan dan pimpinan organisasi.
Dalam usaha meningkat mutu prestasi organisasi, pemimpin juga semestinya memiliki pandangan dan wawasan yang jauh. Pemimpin sepatutnya mampu mengariskan arah tuju organisasi tersebut semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana yang makin mencabar. Kejayaan ini memerlukan kepada penguasaan kefahaman kepada keadaan semasa dan bersikap (futuristic ) kehadapan kepada apa yang jangka berlaku pada aktiviti organisasi masa hadapan.
Pemimpin organisasi dengan itu perlu memahami pergolakan politik, ekonomi, budaya hidup masyarakat dan hasrat negara untuk berperanan secara berkesan. Dalam suasana semasa yang kerap berubah, seseorang pemimpin tidak hanya mencukupi menguasai kemahiran profesional sahaja, ia seharusnya juga dapat menghayati harapan kepada apa bentuk perubahan yang akan berlaku.
Kejayaan yang perlu diterokai oleh sesebuah organisasi dalam negara khususnya organisasi perniagaan sepatutnya berbentuk kejayaan jangka panjang. Dalam era kesejagatan sekarang, kejayaan jangka panjang biasanya bergantung kepada kemampuan meluaskan penguasaan pasaran, termasuk pasaran antarabangsa. Dalam menghadapi persaingan antarabangsa mutu kepimpinan yang cemerlang mampu menerajui organisasi bersaing dengan organisasi antarabangsa. Pentas antarabangsa sepatutnya menjadi ukuran kepada kejayaan kepimpinan seseorang individu.
Di samping memiliki wawasan dan matlamat yang bertaraf sejagat, mutu kepimpinan dapat dinilai dan ditentukan kepada kemampuan pemimpin terbabit menterjemahkan wawasan organisasi kepada bentuk program dan kegiatan semoga hasil barangan dan perkhidmatan yang hendak dikeluarkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Banyak organisasi tidak beroperasi secara berkesan kerana kegagalan dan ketidakmampuan pemimpin organisasi tersebut menterjemah wawasan organisasi dalam bentuk aktiviti dan kegiatan atau jenis pengeluaran menepati hasrat organisasi tersebut. Pemimpin yang berjaya adalah mereka yang bersikap kreatif dan inovatif serta berkeinginan berusaha semoga organisasi tersebut sentiasa berada dibarisan hadapan dan mempengaruhi suasana pasaran.
Peningkatan mutu kepimpinan organisasi bagi Islam ialah untuk meningkat prestasi organisasi. Sekaligus ia juga meningkat kebajikan pekerja dan seterusnya masyarakat. Pemimpin sesebuah organisasi dengan itu sentiasa perlu berusaha meningkat prestasi organisasi yang dipimpinnya. Kejayaan sesebuah organisasi merupakan kejayaan sesebuah masyarakat. Pada masa kini pada lazimnya tugasan dilaksana melalui organisasi. Justeru itu, Nabi S.A.W. memperingatkan umatnya tentang amanah kepada memimpin dengan sabda baginda, yang dilapor oleh Ibn Umar yang bermaksud "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinan kamu."

Rencana ini adalah hasil tulisan Nik Mustapha Bin Nik Hassan, Timbalan Ketua Pengarah IKIM yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 08/04/2009

इस्लाम यंग स्युमुल

ejarah telah merakamkan bahawa Islam pada suatu ketika dahulu pernah menguasai dan menjadi kuasa besar dunia. Hari ini dunia menyaksikan bagaimana umat Islam yang suatu ketika dahulu berkuasa kini bergelut dengan berbagai-bagai penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam.

Umat Islam telah ketinggalan dalam banyak bidang baik dari segi pendidikan, ekonomi dan politik. Apakah punca kejatuhan umat Islam bukanlah merupakan satu tajuk yang ingin dibincangkan di sini sebaliknya penulis ingin membincangkan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap individu muslim bagi mengembalikan maruah yang telah dirampas.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “ sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kejalan Allah dan Rasul”. Kembali kepada Allah dan Rasul beerti merujuk segala permasalahan yang timbul berpandukan kepada pengajaran Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW merupakan kitab yang mempunyai mukjizat tersendiri dan telah sempurna isi kandungannya untuk menjadi pedoman bagi kehidupan manusia. Sabda nabi SAW " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang kepada keduanya maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya iaitu Al Quran dan Sunnahku." Firman Allah “ Hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah sempurnakan bagi kamu nikmatKu dan Aku redha agama Islam itu sebagai agama anutan bagi kamu”

Islam bukanlah satu agama yang berkonsepkan ibadat khususiah semata-mata sebaliknya Islam merupakan satu agama yang mengatur perjalanan hidup penganutnya secara lengkap bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Salman Al Farisi tentang kelebihan ajaran Islam yang mengajar dan mengatur perjalanan hidup penganutnya hingga keaspek-aspek yang kecil hatta kepada adab muslim didalam tandas.

Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dengan keluasan ilmunya sememangnya mengetahui tentang kelemahan manusia. Manusia tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan justeru itu setiap suruhan dan larangan dalam ajaran Islam terdapat sistem penguatkuasaan yang membezakan ajaran Islam dengan ajaran lain. Sebagai contoh, Islam mengharamkan zina. Bagi menguatkuasakan pengharaman ini maka Islam meletakkan hukuman sebat bagi penzina yang bukan muhsin dan rejam bagi penzina muhsin. Hukuman keatas mereka ini disyaratkan agar dilakukan dikhalayak ramai agar memberi pengajaran kepada orang lain supaya menjauhi tegahan Allah.

Tujuan hukuman didalam Islam adalah untuk mengajar dan membendung manusia dari melakukan tegahan Allah dan bukannya untuk menyiksa mereka yang telah melakukan kesalahan. Qaedah Fiqhiyyah menyatakan “ Tolaklah hudud dengan kesamaran”. Ini menggambarkan kepada kita bahawa tujuan hukuman dijalankan didalam Islam adalah untuk mendidik manusia menjadi insan yang berdisiplin dan patuh kepada suruhan Allah.

Keseluruhan ajaran Islam adalah bertujuan untuk mengatur kehidupan manusia dengan bersistematik agar umat manusia menjadi umat yang unggul dan berjaya. Kejayaan didalam pandangan Islam bukanlah terletak kepada penguasaan nilai material semata-mata sebaliknya kejayaan dalam Islam dinilai kepada kemampuan seseorang mematuhi dan mengamalkan ajaran agama sehingga mereka mampu mentadbir urusan dunia sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu sebagai khalifah Allah.

Dalam menilai sesuatu kejayaan juga maka kita dapati bahawa ukuran kejayaan bagi seseorang individu Muslim dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT didalam surah Al Mukminun ayat 1 hingga 11 yang bermaksud “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusuk didalam solatnya dan orang orang yang menjauhkan dirinya dari perkara-perkara yang tidak berguna dan orang orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya dalam hal ini mereka tidak tercela. Barangsiapa mencari yang selain daripada itu maka sesungguhnya mereka itu adalah orang yang melampaui batas. Dan orang orang yang menjaga amanah-amanah dan janji-janjinya. Dan orang-orang yang menjaga sembahyang-sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi syurga firdaus. Mereka kekal didalamnya.”

Jelaslah kepada kita bahawa terdapat tujuh ciri-ciri individu yang berjaya seperti yang telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui firmannya di atas. Golongan itu ialah :

i. Individu yang khusuk didalam sembahyang. Mereka adalah golongan yang dapat menjaga hati mereka dan menumpukan sepenuhnya terhadap amalan yang mereka lakukan. Setiap amalan yang mereka lakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT. Apabila hati mereka telah khusuk maka sembahyang itu merupakan penjaga bagi mereka daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar sebagaimana firman Allah “ Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”


ii. Individu yang dapat menjaga diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berguna. Mereka ini adalah golongan yang menjaga masa dan menumpukan setiap perbuatan dan percakapan kearah perkara-perkara yang boleh memberi input kearah perkembangan Islam.Allah SWT telah berfirman “ Demi masa sesungguhnya manusia berada didalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.Nasihat menasihati diatas landasan kebenaran dan nasihat menasihati denagan penuh kesabaran.”
iii. Individu yang mengeluarkan zakat. Golongan ini adalah golongan yang patuh pada suruhan Allah serta bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Secara langsung perbuatan mereka ini dapat membantu ekonomi umat Islam serta merapatkan jurang diantara golongan kaya dengan golongan miskin. Firman Allah didalam surah al Taubah yang bermaksud “ Ambillah sebahagian daripada harta mereka itu menjadi sedekah (zakat) supaya dengan itu engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan engkau mensucikan mereka(dari sifat buruk).”
iv. Individu yang menjaga kemaluan mereka daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.Mereka adalah golongan yang tidak melakukan zina, homoseksual dan lesbian.Golongan ini juga merupakan golongan yang menjauhi diri mereka daripada perbuatan yang boleh membawa kearah zina seperti berkhalwat ,bercampur gaul antara bukan muhrim secara bebas dan keterlaluan,memakai pakaian yang menjolok mata sehingga menimbulkan perasaan syahwat terhadap orang lain lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai penyakit didalam hati,bercakap perkara-perkara lucah dan sebagainya.Firman Allah didalam surak Al Israk yang bermaksud “ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan yang boleh membawa kepada zina kerana ia merupakan perbuatan yang keji dan jalan yang amat buruk.”
v. Individu yang menjaga amanat.Golongan ini adalah golongan yang sentiasa merasa diri mereka diperhatikan oleh Allah SWT.Setiap amanah yang dipikul dilaksanakan dengan baik biarpun ianya tidak diperhatikan oleh orang lain.Apabila amanat ini dijaga maka secara langsung ia membawa kepada kejayaan mewujudkan TQM (Total Management Quality).Perkara ini juga akan mewujudkan satu budaya hidup yang berdisiplin dan masyarakat akan dapat hidup dalam suasana puas hati (redha) dan tidak timbul sebarang perangsangka buruk kerana masing masing bekerja secara profesional.
vi. Individu yang memelihara janji dan menunaikannya.Memelihara janji bermaksud tidak berjanji sekiranya merasakan diri tidak mampu melaksanakan janji itu dan menunaikannya dan berusaha untuk menunaikannya apabila telah berjanji. Golongan ini merupakan golongan yang berhati-hati didalam melaksanakan sebarang tindakan dan mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjnag yang jitu.Individu ini juga merupakan golongan yang tidak mempunyai kepentingan peribadi dan bekerja kerana Allah semata-mata.
vii. Individu yang memelihara solatnya. Mereka adalah golongan yang tidak tinggal sembahyang yang difardukan.Mereka akan tetap melakukan solat walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Golongan ini akan merasakan ketenangan didalam setiap pekerjaan yang dilakukan kerana paling kurang mereka akan rukuk dan sujud kepada tuhan Rabbul Alamin sebanyak lima masa dalam sehari semalam. Ini membawa erti bahawa disamping usaha yang dilakukan maka pengharapan sepenuhnya diserahkan kepada Allah SWT. Betapa besarnya perananan solat dalam kehidupan seseorang muslim dapat dilihat mealui peristiwa saat-saat terakhir hayat Rasulullah yang menekankan agar manusia mengambil berat tentang sembahyang. Suatu hakikat yang harus diterima bahawa antara punca berlakunya banyak gejala moral pada masa kini adalah disebabkan oleh kealpaan manusia terhadap ibadat solat ini.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa tujuh perkara ini adalah antara kunci penyelesaian kepada masaalah yang melanda masyarakat kita. Sebagai contoh masaalah penglibatan para pelajar dengan kumpulan samseng, masalah ragut, perzinaan, jenayah rogol dan sebagainya adalah disebabkan daripada roh solat tidak dapat hidup didalam jiwa mereka.

Tidak khusuk didalam solat menyebabkan keagungan Allah dan kebesaranNya tidak dapat meresap didalam sanubari mereka. Keadaan ini akan menyebabkan mereka menjadi pengkagum kepada ajaran songsang yang disebarkan oleh kenaifan tamadun barat kini. Tidak pelik sekiranya suatu masa dahulu kita dapati ada dikalangan manusia yang sanggup memuja syaitan dan melakukan perbuatan perbuatan yang menyalahi akidah umat Islam.

Begitu juga dengan masaalah masaalah lain yang melanda negara kita. Pokok utama adalah disebabkan kurangnya pendidikan agama yang diterapkan kepada anak-anak dan sekiranya ada, ianya tidak dititik beratkan dan dikuatkuasakan sehingga dapat mewujudkan kekaguman, penghormatan dan kepatuhan anak-anak terhadap ajaran agama.

Tujuh perkara yang menjadi neraca bagi mengukur kejayaan seseorang individu muslim itu , sekiranya tidak diambil berat maka ianya akan menjadi peruntuh kepada ketamadunan ummat. Sejarah keruntuhan sesebuah kerajaan Islam dapat dilihat berakibat daripada kurangnya penekanan para pemerintah pada masa itu terhadap perkara-perkara ini seperti leka terhadap solat, hanyut dengan keseronokan dunia sehingga membazir masa dengan berbagai bentuk hiburan,tamak haloba sehingga tidak mahu mengeluarkan zakat, terjerumus didalam kancah penzinaan sehingga sanggup menyimpan gundik-gundik, tidak melaksanakan amanat yang dipertanggungjawabkan iaitu memimpin negara dan menjaga kehormatan Islam dan sebagainya.

Umat Islam sepatutnya menjadi pendominasi kepada seluruh aspek kehidupan manusia. Sebaliknya pada masa kini kita lebih menjadi ‘carbon copy’ kepada orang bukan Islam. Sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan keagungan agama kita dalam bentuk modul yang boleh dirujuk oleh seluruh manusia yang berada diatas muka bumi ini sebagaimana ianya telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabatnya ,khalifah-khalifah Islam dan seluruh para pejuang Islam. Kita tetap meyakini bahawa “ Islam itu sentiasa berada di puncak dan tidak ada yang dapat menandinginya”